Jurulatih skuad bola sepak negara dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018, Yazli Yahya, mungkin terpaksa mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan K. Reuben seandainya pemain pertahanan itu masih gagal untuk melaporkan diri menjelang pertemuan dengan Singapura di Nay Pyi Taw, Myanmar, petang ini.

Dalam perlawanan pembukaan menentang Thailand kelmarin, tiada kelibat Reuben di bangku simpanan.

Difahamkan, pemain itu meminta sedikit masa kerana ingin menyelesaikan isu kontrak bersama majikan barunya musim depan.

Yazli mengakui Reuben memainkan peranan penting di benteng pertahanan, namun dia terpaksa bertegas memberi kata dua kepadanya agar segera melaporkan diri menjelang pertemuan kedua dengan Singapura dan jika pemain itu gagal berbuat demikian, dia sudah boleh melupakan khidmatnya bersama-sama skuad negara.

"Reuben merupakan seorang pemain berpengalaman dan pernah beraksi dalam saingan AUG.

"Dengan ketiadaannya, kami masih mempunyai pilihan lain untuk mengisi posisi pertahanan kanan.

"Bagaimanapun, calon penggantinya sudah pasti tidak setanding dengan kebolehan Reuben," kata Yazli.

Skuad negara gagal mengekang asakan juara bertahan, Thailand, apabila tumpas 1-3 dalam aksi pembukaan itu.

Sementara itu, Yazli bakal membuat beberapa perubahan ketika menentang Singapura untuk mengutip tiga mata penuh dalam usaha menghidupkan peluang mara ke final.

"Kami beraksi dengan format liga sepusingan. Jadi, kami masih mempunyai tiga perlawanan untuk diharungi.

"Apa jua keputusan yang dicapai ketika menentang Thailand, ia menjadi soal kedua.

"Apa yang penting, kami perlu fokus untuk menghadapi tiga lagi baki perlawanan," katanya lagi.