Jurulatih skuad bola sepak universiti negara, Yazli Yahya, melahirkan kegusaran terhadap tuan rumah, Myanmar, yang masih belum mengeluarkan sebarang butiran mengenai acara bola sepak biarpun tarikh saingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) sudah semakin hampir.

Kurang seminggu sebelum sepak mula yang dijadualkan berlangsung Ahad ini, tuan rumah masih lagi gagal untuk mengeluarkan undian kumpulan bagi acara bola sepak.

Ia menyukarkan Yazli untuk membuat congakan dan merangka strategi mengenai kekuatan lawan yang bakal dihadapi di Nay Pyi Daw nanti.

Dua tahun lalu di Singapura, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B di samping tuan rumah, Kemboja, dan Filipina tetapi perjalanan mereka terhenti di peringkat separuh akhir apabila diketepikan pasukan Timor Leste.

"Kes seperti ini tidak pernah berlaku lagi. Beberapa hari sebelum sepak mula, kami masih belum mengetahui nasib kami dalam undian peringkat kumpulan.

"Bagaimanapun, kami sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," ujarnya.

Selepas tamat sesi pemilihan pada 16 November lalu, Yazli sudah pun menamakan 20 pemain terbaik yang akan dibawa ke Myanmar.

Bagaimanapun, ia bukan satu proses mudah apabila dia terpaksa mengadakan rundingan dengan beberapa jurulatih tempatan memandangkan kebanyakan kelab kini turut sibuk dengan persediaan pra-musim sempena saingan Liga Malaysia tahun depan.

"Barisan pemain yang ada ini adalah tonggak pasukan negeri dan kelab.

"Dalam tempoh pra-musim ini, ada pemain yang masih mencari kelab manakala ada pemain yang berdepan dilema kerana kelab yang mereka sedang wakili akan diterajui jurulatih baru.

"Mereka perlu berunding dengan jurulatih masing-masing mengenai persiapan pra-musim," katanya lagi.