Kemenangan ke atas Laos dalam penentuan pingat gangsa Sukan Universitu Asean (AUG) 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar, hari ini, boleh dianggap sebagai pengubat duka skuad bola sepak negara walaupun mereka sebelum ini diletakkan harapan untuk merangkul pingat emas.

Edisi kali ini menyaksikan Malaysia menghimpunkan beberapa pemain yang mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan liga tempatan.

Kebanyakan mereka hadir daripada pasukan UiTM FC dan UKM FC.

Ia disifatkan sebagai pasukan yang lebih mantap berbanding edisi sebelumnya dengan membariskan 100 peratus pemain daripada institusi pengajian tinggi sahaja.

Bagaimanapun, mereka gagal mencapai sasaran ke final dan terpaksa menempuh perlawanan penentuan pingat gangsa.

Perlawanan itu memihak Malaysia menerusi kemenangan 4-2 ke atas Laos dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Pingat gangsa itu boleh dianggap sebagai pengubat duka gagal ke final dan memperbaiki prestasi dalam edisi di Singapura, dua tahun lalu, di mana Malaysia tewas dalam penentuan yang sama kepada tuan rumah.

"Kami membariskan pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

"Masalah utama adalah kami gagal menterjemahkan peluang-peluang yang tercipta kepada jaringan.

"Ia menghukum kami dan hanya sekadar mampu menduduki tempat ketiga," kata jurulatih skuad bola sepak AUG, Yazli Yahya.

Masalah utama skuad kendalian Yazli itu adalah jentera serangan yang tumpul.

Malaysia hanya mampu menjaringkan lima gol daripada lima perlawanan yang diharungi.

"Sebelum ini, kami hanya mendapat tempat keempat dalam edisi di Singapura.

"Kami menyasarkan pingat emas, namun tidak berjaya.

"Pingat gangsa ini sekurang-kurangnya dapat memperbaiki pencapaian kami dalam edisi dua tahun lalu itu," kata penjaga gol, Azam Jais.