Aubameyang tetap simpan hasrat untuk beraksi dengan Madrid

Oleh Staff Writer 8 Disember 2016 0
Aubameyang tetap simpan hasrat untuk beraksi dengan Madrid
Bintang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang, mengulangi keinginannya untuk bermain bersama Real Madrid selepas aksi yang mempersonakan di Santiago Bernabeu.

Selepas ibunya mengeluarkan komen mengenai anaknya akan berhijrah ke Sepanyol sebelum sidang media perlawanan, Aubameyang memberikan gambaran apa yang boleh penyokong Madrid saksikan pada masa akan datang, apabila dia menjaringkan gol dan membuat bantuan dalam keputusan seri 2-2 dengan Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Aubameyang masih mempunyai kontrak di Signal Iduna Park sehingga tahun 2020 dan pemain antarabangsa Gabon itu gembira untuk kekal beraksi di kelab Bundesliga itu. Dia, bagaimanapun, berhasrat untuk menyempurnakan janji yang telah dibuat kepada datuknya.

"Ya (saya masih mahu bermain untuk Madrid), ia adalah satu janji yang telah saya buat kepada datuk saya," katanya kepada beIN Sport.

"Buat masa ini, saya rasa sangat gembira di Dortmund tetapi pada masa akan datang saya akan melihatnya kembali."

Aubameyang dalam prestasi terbaik bersama Dortmund yang bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menyamakan kedudukan, sekaligus merampas kedudukan teratas Kumpulan F pada hari perlawanan keenam.

Ketinggalan daripada dua jaringan Karim Benzema, Aubameyang mencetuskan kebangkitan Dortmund menerusi jaringan pertamanya.

Aubameyang kemudian menjadi perancang jaringan kedua Dortmund dua minit sebelum tamat masa perlawanan sebenar, dengan jaringan Marco Reus mengikat kedudukan untuk membawa Dortmund ke peringkat kalah mati selaku juara kumpulan.

"Kami tidak kisah siapa lawan yang akan kami jumpa," kata Aubameyang.

"Pada separuh masa, kami berbincang mengenai bagaimana kami semua boleh melakukan sesuatu (lebih baik berbanding Real) dan kami melakukannya dengan baik pada babak kedua."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen