Pierre-Emerick Aubameyang berkata empat gol jaringannya ketika membantu Borussia Dortmund menewaskan Hamburg 5-2 adalah caranya memohon maaf di atas keterlanjurannya.

Aubameyang telah digantung oleh kelabnya kerana menghadiri satu parti di Itali yang menyaksikan penyerang itu terlepas perlawanan Liga Juara-Juara ketika menewaskan Sporting CP.

Pemain kebangsaan Gabon itu kembali dalam kesebelasan utama pasukan di Volksparkstadion dan mempamerkan aksi yang cemerlang.

Aubameyang meledak hatrik dalam separuh masa pertama sebelum menjaringkan gol keempat tiga minit selepas separuh masa kedua bermula.

Penyerang itu berpuas hati kerana dapat menebus semula kesilapan yang dilakukannya, terutama sekali membebaskan tekanan pasukan selepas gagal mencari kemenangan dalam empat pertemuan Bundesliga.

"Saya telah melakukan kesilapan dan mahu meminta maaf kepada pasukan dan jurulatih," kata Aubameyang.

"Setiap orang mengetahui Dortmund perlu memenangi perlawanan dan jika kami gagal melakukannya dalam empat perlawanan, tekanan mula dirasai. Saya berpendapat kami telah bermain dengan baik."

Apabila Bundesliga bersambung semula selepas perlawanan antarabangsa, Dortmund bakal menerima kunjungan pendahulu liga, Bayern Munich, di Signal Iduna Park.

"Kami sudah bersedia. Sekarang kami akan beraksi bersama pasukan kebangsaan tetapi menyedari kami perlu kembali berdepan Bayern."