Borussia Dortmund mungkin turun tanpa penjaring terbanyak, Pierre-Emerick Aubameyang, untuk menghadapi Bayern Munich dalam aksi DFB-Pokal, awal pagi esok.

Aubameyang menjaringkan golnya yang ke-21 musim ini ketika Dortmund menundukkan Hoffenheim dalam aksi Bundesliga, Sabtu lalu, namun dia mengalami kecederaan otot dalam sesi latihan dua hari kemudian.

Ketua jurulatih, Peter Stoger, tidak yakin sama ada penyerang Gabon itu akan pulih tepat pada masanya untuk pertembungan Klassiker di Allianz Arena, begitupun dia yakin selaku juara bertahan, mereka mempunyai pilihan yang mencukupi untuk menampung ketiadaannya.

"Kelibat Aubameyang masih belum pasti, kita perlu tunggu," kata Stoger.

"Kami ada beberapa pilihan sekiranya Aubameyang tiada."

Aubameyang telah merekodkan enam gol dalam kempen itu dan minggu ini dilaporkan bersetuju untuk melanjutkan perjanjian di Signal Induna Park hingga 2021.