Pierre-Emerick Aubameyang akan kembali daripada penggantungan yang dikenakan oleh kelab untuk pertembungan penting menentang Tottenham dalam Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok, demikian pengesahan dibuat jurulatih, Peter Bosz.

Dortmund tidak mengulas mengenai alasan mengapa Aubameyang digantung, namun laporan mengatakan bahawa kelab itu tidak berpuas hati dengannya ketika berparti semasa tugasan antarabangsa dan membuat penggambaran video tanpa kebenaran dengan gaya bebas pemain bola sepak di premis mereka.

Skuad Bosz, yang beraksi tanpa penyerang itu, kalah 2-1 kepada pendatang baru, Stuttgart, dalam Bundesliga pada awal pagi semalam, sekali gus menambahkan lagi tekanan buat jurulatih itu.

Dortmund mempunyai peluang tipis untuk layak ke pusingan kalah mati, dengan hanya mengumpul dua mata daripada empat perlawanan, dan ketinggalan lima mata di belakang Real Madrid yang berada di tangga kedua.

Kemenangan skuad Zinedine Zidane itu menentang APOEL akan mengesahkan penyingkiran Dortmund, tetapi Bosz berasakan pasukannya mendapat rangsangan daripada kepulangan Aubameyang dalam aksi menentang Spurs.

"Aubameyang akan bermain esok (awal pagi nanti)," kata Bosz kepada pemberita.

"Saya sudah berbincang dengannya dan juga pasukan. Dia berlatih bersama pasukan hari ini, sebab itu saya boleh mengatakan bahawa dia pasti akan bermain."

Dortmund beraksi buruk sejak kebelakangan ini, dengan hanya menang dua daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, dan membuatkan Bosz dalam bahaya untuk dipecat.

Bosz memahami tekanan dan kekecewaan dalam kalangan peminat, bagaimanapun, mengakui bahawa ia hanya sebahagian daripada perjalanan kelab besar.

"Selebihnya saya faham," katanya. "Itulah yang berlaku jika anda bekerja untuk sebuah kelab besar seperti Dortmund -- anda perlu menang. Saya rasa bahawa semua faham fasa di mana kita berada."