Alvaro Morata mendakwa Atletico Madrid tidak menghiraukan kritikan selepas dia mengetuai pasukan ibu negara Sepanyol itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Espanyol.

Sebelum aksi semalam, Atletico gagal mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan bagi semua kejohanan dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Barcelona, tatkala juara bertahan LaLiga itu dan Real Madrid masing-masing meraih kemenangan.

Pasukan bimbingan Diego Simeone itu ketinggalan hasil rembatan Sergi Darder sebelum Morata muncul wira dengan membantu jaringan penyamaan yang dihasilkan Angel Correa sebelum dia sendiri meletakkan nama dalam senarai penjaring.

Koke mengesahkan kemenangan dalam waktu kecederaan untuk membolehkan Atletico menghadapi saingan antarabangsa dengan keyakinan selepas melalui permulaan musim yang tidak begitu baik.

Melihat kepada kerja keras yang ditampilkan pasukannya walaupun tewas di tangan Bayer Leverkusen dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu, Morata menegaskan disiplin dalam skuad tidak boleh dipersoalkan dan mereka tetap bersatu mengabaikan elemen luar yang boleh mengganggu pasukan.

"Kami sentiasa bermotivasi," katanya selepas menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut bagi semua kejohanan.

"Mungkin kadangkala kami bermain baik dan sebaliknya. Kami sentiasa mahu menang dan hari ini, kami melakukannya.

"Di dalam pasukan, kami adalah kumpulan yang kukuh dan tidak terkesan dengan apa yang diperkatakan oleh orang ramai. Jika kami lakukan apa yang perlu, kami akan mara jauh musim ini."

Morata menambah dia berpendapat Atletico tidak bernasib baik dalam aksi terdahulu, di mana mereka gagal mencapai kemenangan, jadi dia tidak meragui kemampuan pasukannya untuk mengutip tiga mata ketika berdepan dengan Espanyol yang bergelut.

"Perkara paling penting adalah kami menang," tambahnya.

"Akhirnya, selepas semua bersatu dalam detik seperti aksi sebelum ini di Leverkusen atau di Seville (sewaktu seri 1-1 dengan Sevilla), saya fikir kami berhak meraih sesuatu yang lebih besar.

"Namun, hari ini kami menang dan menambah tiga mata penting untuk memperbaiki kedudukan liga."