Atletico tidak pernah kata saingan LaLiga sudah tamat -- Koke

Oleh Muzaffar Musa 8 Mac 2021 1196
Atletico tidak pernah kata saingan LaLiga sudah tamat -- Koke
Koke menegaskan fokus Atletico Madrid tidak pernah lekang biarpun mereka sekali lagi keciciran mata selepas diikat oleh Real Madrid lewat malam tadi.

Atletico kini hanya dibezakan tiga mata dengan pasukan di tangga kedua, Barcelona, walaupun mereka memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan, selepas gagal memberikan reaksi selepas pasukan seteru kendalian Ronald Koeman itu memperoleh kemenangan semalam.

Luis Suarez membuka jaringan dalam aksi 'derby' itu tetapi rekod tanpa kemenangan Atletico ketika berdepan Madrid berpanjangan kepada 10 perlawanan liga selepas Karim Benzema menyamakan kedudukan pada penghujung permainan.

Ia bermakna skuad bimbingan Diego Simeone itu hanya meraih sembilan mata daripada enam perlawanan sejak awal bulan lalu, tempoh di mana Barca meraih 16 mata manakala Madrid dengan 14 mata.

Tetapi Atletico berpeluang untuk kembali melebarkan kelebihan mereka menjelang perlawanan menentang Athletic Bilbao, Rabu ini.

Koke berkata pasukannya sudah bersedia untuk meneruskan perjuangan mereka dan memperbaiki rekod satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan.

 "Hanya anda yang berkata saingan liga ini sudah berakhir dan perkara-perkara seperti itu," katanya kepada Movistar.

"Persaingan ini akan berterusan sehingga penghujung musim.

"Kami perlu fokus dalam perlawanan Rabu ini, di mana kami boleh mendapatkan mata dan tidak buat seteru kami," katanya.
 
Dengan rekod tanpa kemenangan mereka ke atas Madrid dalam kesemua perlawanan liga berterusan, Atletico masih gagal menewaskan jiran mereka itu dalam empat percubaan terakhir aksi LaLiga di Wanda Metropolitano.

"Kami pasukan yang lebih baik tetapi mereka boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa.

"Pemain baru dimasukkan dan mereka mencuba untuk menyerang tetapi kami berdepan seteru hebat yang berpotensi besar untuk menjaringkan gol.

"Benar kami masih belum dapat menewaskan mereka tetapi kami tidak dapat melakukannya (menewaskan Madrid) sejak sekian lama," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen