Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, mempertahankan pendekatan lemahnya dalam pasukan tersebut dengan menyatakan bahawa pasukannya itu tidak melakukan banyak kesalahan dalam tempoh tujuh tahun perkhidmatannya.

Jurulatih kelahiran Argentina itu sebelum ini lebih menerapkan permainan kemas yang menyukarkan pihak lawan sebelum menewaskan mereka.

Bagaimanapun, Atletico dibelasah Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah ekoran gagal menyekat strategi menyerang yang diterapkan skuad kendalian Lucien Favre itu, bulan lalu.

Simeone, yang merupakan jurulatih paling berjaya dalam sejarah Atletico dengan meraih tujuh kejuaraan sejak mengambil alih kelab tersebut pada tahun 2011, enggan melakukan sebarang perubahan terhadap pendekatannya itu hanya disebabkan satu keputusan buruk.

"Bola sepak itu sesuatu yang luar biasa dan mempunyai pelbagai cara untuk bermain dan meraih kemenangan.

"Saya perlu memilih satu pendekatan dan percaya kepada pendekatan itu berdasarkan kemampuan pemain-pemain saya.

"Dalam tempoh tujuh tahun ini, kami tidak melakukan banyak kesilapan," kata Simeone dalam sidang media menjelang satu lagi perlawanan menentang Borussia Dortmund di Wanda Metropolitano, awal pagi esok.

"Dortmund merupakan salah satu pasukan terbaik di Eropah.

"Disebabkan itu, mereka kini di puncak Bundesliga dan mengekalkan rekod kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara.

"Mereka bermain dengan menarik dan jika meneruskan rentak itu, mereka akan muncul juara di Jerman.

"Mereka banyak menekan -- dalam perlawanan pertama -- menyerang dan melakukan serangan balas dengan baik.

"Kami perlu memuji mereka. Kami telah lakukan yang terbaik, namun tidak berjaya untuk menang.

"Kami harap dapat mengimbangi perlawanan dan menunjukkan kekuatan kami nanti."

Atletico akan sekali lagi turun tanpa rangkaian penyerang terbaik mereka dengan Diego Godin, Koke dan Diego Costa terpaksa diketepikan ekoran kecederaan otot.

Namun, Simeone lebih mengutamakan kesihatan jangka panjang barisan penyerangnya itu.

"Saya optimis mereka akan segera pulih. Beberapa pemain tidak dapat beraksi, namun keadaan pasukan kami amat baik.

"Mereka yang akan turun bermain mempunyai semangat yang tinggi.

"Apabila anda menyediakan pasukan, situasi seperti ini yang anda perlu fikirkan," tambahnya lagi.