Atletico Madrid akan berjuang untuk memastikan Antoine Griezmann kekal di kelab itu selepas minat yang ditimbulkan Barcelona, ​​kata Ketua Eksekutif, Miguel Angel Gil Marin.

Atleti melaporkan tindakan Barcelona itu kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), minggu lalu, atas dakwaan mereka memburu bintang Perancis itu 'mengikut pintu belakang' apabila Pengarah Camp Nou, Guillermo Amor, berkata Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, mungkin "mengadakan pertemuan dengan keluarga Griezmann".

Penyerang berusia 26 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United sebelum permulaan musim ini tetapi memilih untuk kekal bersama Atletico.

Ketua jurulatih, Diego Simeone, baru-baru ini menimbulkan spekulasi dengan mengatakan dia tiada masalah untuk berdepan dengan keputusan Griezmann sekiranya dia menginginkan cabaran baru, begitupun Gil Marin menuturkan nada yang lebih agresif ketika ditemubual Mega.

"Atletico tidak mahu menjual Griezmann sama ada sekarang atau pada musim panas nanti," katanya.

"Bagi kami, dia pemain yang sangat penting yang telah banyak berkembang dan kami telah menikmatinya.

"Hasrat kami adalah untuk terus berkembang bersama-sama.

"Musim panas lalu, kami telah berusaha melangkaui jangkaan kelab dan kami akan melakukannya sekali lagi pada musim panas akan datang.

"Perpindahan Griezmann di luar kawalan kami tetapi sehingga musim panas ini, adalah mustahil untuk dia meninggalkan kami," katanya.

Atletico akan mula menggandingkan Diego Costa dengan Griezmann di jentera serangan bulan depan sebaik sekatan pendaftaran pemain yang dikenakan FIFA selesai.

Gil Marin mengakui usaha menggandingkan dua penyerang handalan itu bukannya tugas mudah tatkala dia berniat untuk mengadakan rundingan baru dengan Griezmann, yang kontraknya berjalan hingga 2022 dengan klausa pelepasan bernilai €200j (RM970.3j) hingga Julai tahun depan.

"Sukar untuk kami mendapatkan Griezmann dan Diego Costa bersama-sama dan saya fikir ia akan menjadi sangat baik untuk Atletico," tambah Gil Marin.

"Sehingga 1 Julai, klausa pelepasan Griezmann adalah €200j."

Atletico menghuni tangga kedua dalam LaLiga tetapi kekalahan kepada Espanyol dalam perlawanan terakhir sebelum rehat tengah musim ini bermakna mereka kini sembilan mata di belakang Barca yang berada di puncak.