Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa, ditimpa kecederaan di hamstring kirinya, kata satu kenyataan kelab.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu dikeluarkan pada minit ke-69 dalam kemenangan 3-1 ke atas Club Brugge dalam Liga Juara-Juara (UCL) di Wanda Metropolitano, awal pagi Khamis lalu.

Costa menjalani ujian imbasan (MRI) semalam yang membuktikan bahawa dia mempunyai masalah dengan hamstringnya. Atletico, bagaimanapun, tidak menyatakan berapa lama dia akan pulih.

Bekas penggempur Chelsea itu meledak dua gol dalam kemenangan Piala Super UEFA ke atas Real Madrid, Ogos lalu, dan sekali lagi menemui sentuhan dalam kemenangan UCL ke atas Monaco bulan lalu tetapi bergelut untuk menyerlah dalam kempen LaLiga.

Costa gagal merakamkan gol dalam ketujuh-tujuh perlawanan liga membabitkannya musim ini dan jaringan terakhirnya adalah ketika tumpas 2-5 di Sevilla, Februari lalu.

Atletico bakal berhadapan dengan Real Betis awal pagi esok dalam aksi terakhir mereka sebelum rehat antarabangsa.

Costa telah diketepikan daripada skuad Sepanyol oleh Luis Enrique.