Diego Simeone memuji Atletico Madrid selepas meraih pencapaian yang hampir mustahil setelah bangkit menewaskan Barcelona dalam aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi.

Atletico mengejutkan Barca menerusi dua jaringan dalam sembilan minit terakhir dalam kemenangan 3-2 di Arab Saudi.

Sepakan penalti Alvaro Morata dan ledakan Angel Correa membolehkan Atletico melangkah ke final untuk menentang seteru setempat, Real Madrid, dan kebangkitan itu disifatkan Simeone sebagai sesuatu yang mustahil.

"Saya fikir kami perlu hidup dalam ketenangan selepas mara ke final. Ia penting untuk peminat, kelab dan pemain," katanya.

"Ia aksi yang sukar menentang salah satu pasukan terbaik dunia. Mereka adalah yang terbaik apabila mengawal permainan dan melakukan serangan.

"Kami bergelut dalam babak pertama. Saya fikir separuh masa kedua agak berbeza, mereka mengekalkan rentak dan meraih peluang sehingga minit ke-75, di mana semangat, kekuatan dan kepercayaan menjadi senjata Atletico.

"Kami berdepan situasi sukar, hampir mustahil. Namun, kami yakin mampu mendapatkan gol penyamaan, boleh menang dan ia berlaku."

Atletico bakal berdepan satu lagi ujian besar dalam aksi final apabila turun menentang Real Madrid di Jeddah, Ahad ini.

Simeone melahirkan penghargaan buat pengendali seteru itu, Zinedine Zidane, menjelang pertemuan itu.

"Saya tidak meragui bahawa Zidane merupakan pengurus hebat, sesuai untuk Real," tambahnya.

"Keputusan menceritakan segalanya. Mereka telah berubah sejak permulaan musim dan ia disaksikan di atas padang tanpa kehadiran Eden Hazard, Karim Benzema dan Gareth Bale.

"Mereka mempertaruhkan lima pemain tengah di atas padang. Mereka mampu lakukannya jika bergerak dan melakukan hantaran tepat. Mereka membuktikannya ketika menentang Valencia.

"Kami akan berdepan beberapa pasukan hebat seperti Real Madrid, Barcelona, Manchester City dan Liverpool."


Editor: Nafis Abdullah