Diego Simeone gembira melihat cara peminat Atletico Madrid melayan kehadiran Liverpool di Wanda Metropolitano dan percaya ia kunci kepada kemenangan mereka, awal pagi tadi.

Peminat Atletico memenuhi jalanan di luar stadium, menyalakan appi dan bersorak dengan sangat kuat tatkala bas juara Eropah dan dunia itu tiba untuk aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Atletico hanya menang satu daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan tetapi jaringan awal Saul Niguez membolehkan mereka membawa bekalan 1-0 ke Anfield.

"Kami mula mencipta kemenangan di bulatan sebelah stadium," katanya.

"Dalam lapan tahun, saya tidak pernah melihat perkara sebegitu.

"Suasana sangat mengujakan. Ia membuatkan anda mahu beraksi. Pasukan memberi reaksi dengan persembahan hebat, sama seperti dilakukan di Valencia.


"Ia bukan malam terbaik kerana kami tidak memenangi trofi tetapi ada detik yang tidak akan ada lupakan dan ini adalah salah satu daripadanya.

"Pasukan terbaik dunia datang selepas meraih banyak kemenangan dan anda menewaskan mereka."

Simeone menjangkakan apa yang berlaku di Wanda Metropolitano bakal dihadapi di Anfield tatkala Liverpool tidak pernah tewas di laman sendiri sejak September 2018.

Bercakap mengenai keadaan di Merseyside, pengurus Atletico itu berkata: "Kami akan bermain dengan rendah diri kerana mereka sentiasa menampilkan aksi terbaik di stadium sendiri."