Juanfran yakin Atletico Madrid mampu menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) selepas kelab LaLiga itu dua kali dikecewakan dalam aksi final.

Atletico terpaksa menerima kekalahan kepada musuh tradisi, Real Madrid, dalam kedua-dua final, yang menafikan peluang skuad kendalian Diego Simeone untuk menjuarai gelaran tersebut.

Musim ini, Atletico gagal mempamerkan permulaan yang baik, seri dengan Roma dan tewas kepada juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea, sekaligus meletakkan mereka di tangga ketiga Kumpulan C.

Walaupun Atletico perlu bekerja keras untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan musim ini, bek kanan Atletico itu yakin pasukannya mampu ke pusingan seterusnya.

"Ya, saya yakin," kata Juanfran.

"Saya tidak menyatakan perkara ini sekadar untuk memberikan harapan pals, tetapi saya optimis satu hari nanti, kami mampu menjulangnya.

"Kami berharap untuk mara ke pusingan seterusnya dan dari situ, kami akan mara ke final," katanya.

Jika mereka ke pusingan seterusnya, skuad Atletico akan menerima suntikan pada Januari dengan kehadiran pemain baru seperti Vitolo dan Diego Costa.

Juanfran menegaskan Atletico tidak boleh terlalu memikirkan mengenai mereka dan cuba memberikan tumpuan dalam setiap perlawanan.

"Kami perlu memberikan tumpuan kepada pemain-pemain yang sedia ada terlebih dahulu. Kami tidak boleh mengharapkan kepada Costa dan Vitola sehingga Januari nanti.

"Sasaran kami adalah memenangi perlawanan dan cuba untuk tidak terlalu terdesak menantikan Januari," katanya lagi.