Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo, percaya pasukannya yang istimewa mampu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah tanpa peminat.

Atletico menyingkirkan juara bertahan, Liverpool, dalam pusingan 16 sebelum saingan itu ditangguhkan ekoran wabak coronavirus, Mac lalu.

Saingan Liga Juara-Juara bakal bersambung Ogos depan selepas Bundesliga telah diteruskan, Liga Perdana Inggeris dan Serie A bakal dijalankan bulan ini.

Atletico tewas dalam dua aksi final Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Diego Simeone pada 2014 dan 2016 tetapi Cerezo memberitahu Movistar: "Kami sangat istimewa, mampu memenangi Liga Juara-Juara tanpa penonton. Ia bakal jadi tahun kami."

LaLiga akan disambung dengan pertemuan setempat Seville, di mana Sevilla berdepan Real Betis pada 11 Jun ini sambil Atletico akan menentang Athletic Bilbao secara tertutup, tiga hari kemudian.

Anak buah Simeone menduduki tangga keenam LaLiga ketika saingan berbaki 11 perlawanan, satu mata di belakang Real Sociedad untuk meraih slot Liga Juara-Juara.

"Dalam liga, kami berdepan situasi sukar dan berbeza dengan Liga Juara-Juara," tambah Cerezo.

"Beberapa perlawanan memisahkan kami dengan final dan kami inginkannya.

"Simeone tenang dan yakin dengan apa yang dilakukan. Dia akan memacu kami merebut kelompok empat terbaik."