Atletico Madrid sahkan kecederaan Suarez

Oleh Muzaffar Musa 8 April 2021 130
Atletico Madrid sahkan kecederaan Suarez
Atletico Madrid mengesahkan bahawa penyerang mereka, Luis Suarez, berkemungkinan akan berehat panjang selepas mengalami kecederaan otot di kaki kirinya.

Pemain kebangsaan Uruguay itu, yang mendahului senarai penjaring terbanyak Atletico musim ini dengan 19 gol, mengalami kecederaan itu dalam sesi latihan semalam.

Satu kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web rasmi Atletico tidak mendedahkan tahap kecederaannya tetapi laporan di Sepanyol mendakwa pemain berusia 34 tahun itu akan diketepikan untuk tiga minggu.

Suarez digantung perlawanan dan tidak akan terlibat dengan kunjungan ke laman Real Betis hujung minggu ini tetapi dia kini turut akan terlepas aksi menentang  Eibar, Huesca dan Athletic Bilbao sepanjang bulan ini.

Ia merupakan satu lagi tamparan buat pendahulu LaLiga berkenaan, yang hanya memenangi empat daripada 10 perlawanan terakhir mereka untuk membenarkan Barcelona dan Real Madrid merapatkan jurang, masing-masing dengan perbezaan satu dan tiga mata.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen