Atletico kenduri gol di Moscow

Oleh Penulis Jemputan 16 Mac 2018 1409
Atletico kenduri gol di Moscow
LOKOMOTIV MOSCOW 1 ATLETICO MADRID 5

Kemenangan 3-0 dalam aksi pertama belum membuat Atletico Madrid berpuas hati, sebaliknya berpesta gol membelasah Lokomotiv Moscow 5-1 dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Europa, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, Angel Correa memulakan kenduri jaringan buat skuad kendalian Diego Simeone itu pada minit ke-16. Pemain dari Argentina itu menerima bola lorongan Koke sebelum menggelecek seorang pertahanan dan melepaskan rembatan leret ke gawang tuan rumah.

Bagaimanapun, pendahuluan itu hanya bertahan empat minit apabila Maciej Rybus menyamakan kedudukan buat Lokomotiv menerusi percubaan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 1-1 dan ia kekal sehingga permainan menuju waktu rehat.

Memasuki babak kedua, Rojiblancos hanya memerlukan dua minit untuk kembali menjarakkan kedudukan selepas Saul Niguez tenang menyempurnakan hantaran lintang Luis Felipe dari sebelah kiri.

Penyerang Perancis, Antoine Griezmann, dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol, Anton Kochenkov, pada minit ke-65 dan Fernando Torres tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang itu untuk meletakkan Atletico selesa di depan 3-1.

Correa jelas berada pada prestasi terbaik apabila bola lorongannya membolehkan Torres menambah gol kedua peribadi lima minit kemudian sebelum hantaran pendek pemain berusia 23 tahun itu memberikan ruang buat Griezmann untuk melambungkan bola melepasi Kochenkov ketika aksi berbaki lima minit.

Kedudukan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan anak-anak buah Simeone melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya berbekalkan keputusan agregat 8-1.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen