ATLETICO MADRID 1 VALENCIA 1

Joao Felix berdepan tempoh rehat yang panjang selepas Atletico Madrid mengesahkan dia mengalami kecederaan pergelangan kaki kanan ketika menentang Valencia.


Pemain antarabangsa Portugal itu, yang menyertai Atletico dalam perpindahan bernilai €126 juta (RM588.9) daripada Benfica dalam jendela lalu, terpaksa dikeluarkan ketika pasukannya mencatat seri 1-1 dalam aksi LaLiga ketika permainan berbaki 10 minit di Wanda Metropolitano itu.

Pergelangan kaki pemain berusia 19 tahun itu dilihat terkehel ketika diterjah Dani Parejo sehingga menyebabkan skuad bimbingan Diego Simeone itu terpaksa menamatkan sisa perlawanan dengan 10 pemain setelah menggunakan ketiga-tiga pemain gantian.

Pengurusnya, Simeone, dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan mengakui kecederaan anak buahnya itu "mungkin serius" dan ujian imbasan mengesahkan kecederaan itu di tahap dua.

"Joao Felix telah menjalani ujian x-ray dan imbasan di Clinica Universidad de Navarra yang menunjukkan dia terseliuh dua pertiga daripada ligamen luar pergelangan kaki kanannya," kata Atleti di laman sesawang mereka.

Masih belum dapat dipastikan berapa lamakah pemain remaja itu akan tersisih, namun laporan mencadangkan dia mungkin terlepas aksi sekurang-kurangnya dua minggu.

Justeru, Joao Felix akan sekadar menjadi penonton ketika mereka menghadapi Bayer Leverkusen, Athletic Bilbao, Deportivo Alaves dan Sevilla.

Sejak pemain termahal kelab itu berpindah ke Sepanyol, dia telah menyumbat dua gol selain mencipta satu bantuan jaringan dalam saingan LaLiga.