Atletico berdepan rekod buruk tanpa sebarang percubaan

Oleh Muzaffar Musa 4 Oktober 2020 3815
Atletico berdepan rekod buruk tanpa sebarang percubaan
Atletico Madrid buat kali pertama gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam perlawanan LaLiga di Wanda Metropolitano, di mana mereka terikat 0-0 dengan Villarreal malam tadi.

Luis Suarez melakukan penampilan pertamanya dalam barisan utama Atletico tetapi skuad bimbingan Diego Simeone itu bergelut di bahagian serangan sehingga terpaksa menerima keputusan seri tanpa jaringan buat kali kedua berturut-turut musim ini.

Atletico turut terikat dengan Huesca pertengahan minggu ini dan ia bermakna mereka merekodkan dua keputusan 0-0 daripada tiga perlawanan musim ini -- rekod pertama mereka dalam sejarah kejohanan itu.

Bagaimanapun, Simeone, yang menyaksikan pasukannya membelasah Granada 6-1 dalam perlawanan pembukaan musim 2020-21, tidak gusar dengan keadaan itu sambil memuji perwatakan yang telah dipamerkan pasukannya.

"Adalakanya, ia sukar menerangkan mengenai situasi seperti ini, di mana dengan keinginan yang ada dalam pasukan ini, kami tidak dapat menghasilan sebarang peluang," kata jurulatih Atletico itu.

"Saya perlu kekal dengan perkara yang yang baik dan secara umumnya mengenai keinginan dan perwatakan. 

"Keputusan ini bukanlah sesuatu yang kami inginkan tetapi saya menggemari perwatakan kami.

"Apabila berlaku seperti itu, anda perlu mempunyai kesabaran untuk menterjemahkannya kepada jaringan," katanya.
 
Atletico melakukan 13 percubaan tetapi tiada satupun daripadanya menggugat penjaga gol pelawat, Sergio Asenjo, dan ia bermakna mereka gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam perlawanan LaLiga itu.

Suarez memperoleh tiga peluang sebelum digantikan dengan Diego Costa pada minit ke-70, yang merupakan sebahagian daripada tiga pertukaran serentak yang dilakukan pengendali berkenaan tetapi masih gagal membuahkan hasil.

"Saya fikir perwatakan dan keinginan mereka untuk menumbangkan lawan itu tetap ada.

"Tetapi kemudian sentuhan dan hantaran yang kurang baik merugikan kami, terutama ketika berdepan pasukan yang menutup ruang dengan baik seperti Huesca dan Villarreal.

"Anda perlu mencari alternatif apabila berdepan situasi ini.

"Kami memperoleh sembilan sepakan sudut dan mereka hanya satu. Kami perlu memanfaatkan peluang dalam gerakan set-piece," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen