Diego Simeone menegaskan kempen Liga Juara-juara (UCL) Atletico Madrid bukanlah satu kegagalan selepas mereka terkandas di peringkat kumpulan, awal pagi tadi.

Atletico memerlukan mata maksimum dalam perlawanan terakhir Kumpulan C itu untuk memastikan peluang kemaraan, namun finalis UCL sebanyak tiga kali itu hanya mampu terikat 1-1 dengan Chelsea.

Saul Niguez meletakkan Atletico di landasan kemenangan di Stamford Bridge sebelum Stefan Savic tertampa bola ke dalam gawangnya sendiri untuk pasukan Sepanyol itu menduduki tangga ketiga, empat mata di belakang pemenang kumpulan, Roma dan Chelsea.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Atletico, Simeone, lebih terbuka untuk beraksi dalam Liga Europa -- pertandingan yang dimenangi kelab itu sebanyak dua kali.

"Kami tidak gagal, perkara seperti ini boleh berlaku, mereka telah memberikan yang terbaik sehingga minit terakhir, kami dalam keadaan baik," kata bekas pemain Argentina itu.

"Apa yang penting ialah anda perlu tajam. Anda perlu menjaringkan gol, kami hanya kalah satu perlawanan (dalam UCL), iaitu pada minit ke-93. Kami tidak mahu memberi alasan -- kami akan dinilai pada akhir musim nanti.

"Saya akan memberi motivasi kepada pemain untuk mengharungi Liga Europa seperti ketika beraksi dalam perlawanan pemanas badan, LaLiga, Copa del Rey. Apabila anda menyarung jersi Atletico, anda tidak perlukan motivasi tambahan.

"Ia adalah satu cabaran baru untuk kami. Impian baru untuk berjuang," katanya lagi.