Atalanta mempunyai tanggungjawab untuk tidak dikecewakan ketika mereka berdepan Neymar dan Paris Saint-Germain (PSG) dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok, kata Gian Piero Gasperini.

Pasukan Serie A itu merupakan wakil Itali terakhir dalam saingan berkenaan walaupun ia merupakan kali pertama mereka beraksi dalam saingan kelab peringkat tertinggi Eropah itu.

Skuad kendalian Gasperini itu kini dikenali sebagai pasukan Itali paling menghiburkan di peringkat Eropah selepas menjaringkan 98 gol dalam Serie A selain merekodkan purata dua gol bagi setiap perlawanan UCL.

Daerah Bergamo antara yang teruk terjejas dengan wabak koronavirus dan Gasperini berpendapat Atalanta berhutang pada diri dan penyokong mereka di rumah untuk berpegang teguh kepada prinsip mereka dalam perlawanan suku akhir itu.

"Kami amat menyedari jangkaan berkenaan perlawanan ini selepas diberikan sokongan dan kasih sayang daripada seluruh Bergamo buat Atalanta.

"Tahun ini, terdapat lebih motivasi daripada semua yang telah terjadi.

"Ia satu perlawanan bola sepak tetapi kami perlu mewakili daerah kami dengan cara sebaik mungkin.

"Kami datang dengan keadaan mental terbaik. Kami memperoleh keputusan yang amat penting sebelum perintah berkurung.

"Kami adalah bukti bahawa satu pasukan tanpa warisan Eropah dapat melakukannya dengan baik dan mencapai tujuan penting itu melalui permainan, semangat dan perkara-perkara lain.

"Kami ada tanggungjawab ke atas diri kami untuk tidak dikecewakan.

"Kami mahu terus membuktikan bahawa Atalanta mampu duduk setaraf dengan pasukan besar yang lain," katanya.

Wabak COVID-19 menyebabkan baki saingan UCL musim ini akan berlangsung tanpa perlawanan timbal balik dan diadakan secara tertutup di sekitar bandar Lisbon.

Gasperini mengakui lebih memilih untuk bersaing dalam format timbal balik dengan berkata "Atalanta mempunyai sejarah yang baik dalam perlawanan kedua".

"Kami akan bertemu pasukan yang kami tidak pernah jumpa sebelum ini dan tidak mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai pemain mereka," katanya.

Kylian Mbappe belum pasti dapat diturunkan kerana kecederaan manakala Angel Di Mario pula digantung perlawanan tetapi Gasperini menjangkakan pemainnya perlu berusaha sepenuhnya dalam menangani Neymar.

"Dia sememangnya antara pemain terkuat di dunia. Dia akan memberikan masalah buat sesiap sahaja yang akan bertemunya.

"Cara terbaik untuk bertahan adalah dengan bermain sebaiknya.

"Kami akan mencuba untuk menghentikannya dengan permainan tersusun.

"Kami sudah berdepan ramai pemain yang kuat sebelum ini," katanya lagi.