Buat julung-julung kalinya, Astro akan membawakan siaran langsung Liga Korea Selatan (K-League) bermula esok.

Dijangkakan, acara yang dibawakan oleh saluran Astro Supersport itu tidak hanya tertumpu kepada corak permainan yang ditampilkan, malah turut melibatkan aspek pengurusan liga berkenaan.

K-League akan bersambung esok selepas lebih sebulan ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Keputusan itu turut mendatangkan kejutan buat pertahanan Petaling Jaya City FC, Kim Bong Jin, yang menganggapnya sebagai satu penghargaan buat warga Korea Selatan memandangkan liga mereka sudah mula diberikan ruang untuk bersiaran di Malaysia.

"Berdasarkan pengalaman saya, Liga Korea lebih mengutamakan kelebihan fizikal. Ia tidak memaparkan corak permainan yang sukar," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"30 tahun lalu, saya hanya berusia setahun tetapi saya membesar dengan mendengar kehebatan Malaysia.

"Sehingga kini, Malaysia ada kredibiliti itu tetapi untuk mencapai tahap yang dimiliki Korea, ia memerlukan kekuatan mental dan kemahuan untuk menukar wajah liga itu sendiri," katanya.

Peminat tempatan boleh menyaksikan perlawanan di antara Jeonbuk Motors dan Suwon Bluewings di saluran Astro Supersport bermula jam 5.55 petang esok.