Beraksi tanpa penyokong ibarat kehilangan sebahagian kekuatan sesebuah pasukan, kata permerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, berkenaan keputusan penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) minggu ini dilangsungkan secara tertutup berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, dia beranggapan ketetapan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu sebagai pendekatan paling selamat bagi menghindarkan wabak berkenaan daripada terus merebak.

"Memang tidak sama dengan kehadiran penyokong dan tanpa kehadiran penyokong.

"Kekuatan pasukan, selain daripada pengurusan dan jurulatih, juga melibatkan penyokong.

"Kehadiran penyokong akan memberikan impak dengan sokongan mereka," katanya.

Situasi terkini itu, bagaimanapun, memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat untuk mencipta kejutan di laman lawan memandangkan setiap pasukan tuan rumah akan kehilangan sorakan padu penyokong mereka.

"Tetapi pada masa sama, pasukan yang mungkin berdepan tekanan daripada penyokong akan berasa lebih selesa.

"Kerana harapan penyokong untuk mereka sentiasa menang dalam setiap perlawanan juga akan berkurangan," tambahnya.

Asmawi, dalam pada itu, berpandangan penundaan Liga-M akan turut menambahkan bebanan buat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Ia kerana penundaan itu akan merencatkan momentum setiap pemain dan penjadualan semula perlawanan pula bergantung kepada keadaan semasa wabak Covid-19.

"Memang sukar buat Tan Cheng Hoe untuk menilai semula pemain yang akan mewakili negara.

"Ia akan memberikan kesan kerana kita akan menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu), Thailand dan Vietnam, jadi kita memerlukan momentum dengan beraksi lebih lama dan lebih kerap.

"Tetapi dalam keadaan sekarang, ia memang amat sukar.

"Saya yakin Tan Cheng Hoe juga memiliki perancangan lain untuk menghadapinya," katanya lagi.