Pemain tengah Real Madrid, Marco Asensio, meredakan kritikan yang dilemparkan terhadap prestasinya dengan mengatakan dia bukanlah antara watak utama kelab.

Asensio, 22, bergelut untuk menjelmakan prestasi terbaiknya musim ini, namun dengan pelantikan Santiago Solari -- diberikan jawatan tetap semalam -- telah membawa perubahan terhadap nasibnya.

Madrid menduduki tangga keenam LaLiga tetapi hanya empat mata di belakang pesaing utama dan pendahulu, Barcelona.

Asensio, yang memasuki musim ketiganya di Madrid, percaya beberapa rakan sepasukannya perlu menggalas lebih banyak tanggungjawab berbandingnya.

"Bagi saya, saya tidak melihat Madrid di dalam krisis," katanya kepada Vamos.

"Saya tidak fikir saya adalah orangnya untuk memacu pasukan ini -- terdapat pemain yang lebih berpengalaman, sudah beraksi banyak perlawanan dan status mereka lebih daripada yang saya ada, merekalah yang perlu memimpin pasukan.

"Apabila pengurus baru tiba, saya mula beraksi tetapi ketika ini, saya kurang mendapat peluang, namun kami akan membuat sebarang kesimpulan apabila musim berakhir."

Permulaan buruk Madrid musim ini mendorong kepada pemecatan Julen Lopetegui, begitupun Solari telah membantu mereka mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Bercakap mengenai kemampuannya, Asensio berkata: "Apabila keadaan berjalan lancar, mereka mula mengatakan bahawa anda adalah yang terbaik tetapi sebaik sahaja keadaan menjadi tidak menentu, tiba-tiba anda adalah yang terburuk.

"Beberapa kritikan walaupun wajar dan adil, namun kita tahu peranan kewartawanan di sini. Saya juga tidak mahu melabel semua pihak atas kritikan mereka, bagaimanapun sebahagian daripadanya adalah bertujuan untuk mencetuskan kemudaratan.

"Saya tidak akan memberi tumpuan kepadanya -- saya ada perkara lain untuk diberikan tumpuan dan ia tidak menjejaskan saya."