Marco Asensio berasa dalam keadaan yang sangat bagus sejurus pulih daripada kecederaan lutut apabila bersedia untuk memainkan peranannya untuk membantu Real Madrid memburu kejuaraan LaLiga.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu masih belum beraksi musim ini ekoran kecederaan lutut kirinya dalam pra-musim.

Pemain berusia 24 tahun itu telah menjalani pembedahan Ogos lalu dan kini kembali menjalani latihan ketika musim ini terhenti akibat krisis novel koronavirus (Covid-19).

Sehubungan itu, Asensio -- yang beraksi sebanyak 44 kali pada 2018-19 -- gembira dapat kembali.

"Saya berasa sangat baik," katanya kepada TV Realmadrid.

"Minggu pertama perasaannya jadi berbeza apabila saya kembali berlatih bersama rakan sepasukan.

"Saya menyesuaikan diri dengan baik. Lutut saya bertindak balas dengan baik dan saya sihat secara fizikal.

"Penantiannya begitu lama. Saya telah bekerja keras dan banyak bersabar apabila melihat rakan-rakan dapat berlatih setiap hari sedangkan saya berada di bilik fisioterapi, oleh itu ia adalah sesuatu yang sangat menyakitkan buat saya.

"Saya dapat kembali bersama rakan-rakan di lapangan dan itulah yang penting. Penantian ini sangat berbaloi."




Perhatian pemain berusia 24 tahun itu kini beralih kepada masalah di lapangan memandangkan Madrid ketinggalan dua mata di belakang seteru utama, Barcelona, bagi perebutan gelaran dengan baki 11 perlawanan lagi.

Los Blancos juga harus mengatasi defisit 1-2 pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Manchester City.

"Kami amat berharap LaLiga akan bersambung dan menghadapi perlawanan yang boleh menentukan gelaran," tambahnya.

"Kami tahu bahawa ia adalah perlawanan hidup dan mati.

"Kami harus berjuang sepenuh hati dalam setiap perlawanan dan kami akan berusaha memenangi kesemua baki perlawanan."