Pengendali Amerika Syarikat, Bruce Arena, yakin pasukannya mampu melayakkan diri ke Piala Dunia Russia 2018 selepas mencipta kemenangan bergaya ke atas Panama.

AS memintas Panama untuk mengisi slot automatik layak ke Piala Dunia dalam saingan kelayakan zon Amerika Utara, Tengah dan Caribean dengan kemenangan 4-0 di Orlando.

Jozy Altidore menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama manakala bintang muda Borussia Dortmund, Christian Pulisic, meledak satu gol dan melakukan bantuan jaringan bagi menyaksikan AS memiliki kelebihan dua mata ke atas Panama.

"Kami berada dalam kedudukan yang baik dan berharap untuk beraksi di Russia," kata Arena.

"Di sebalik apa yang diperkatakan oleh sesetengah pihak, kami mengharungi tahun yang baik dan kemenangan ke atas Panama ini meningkatakan semangat pasukan.

"November lalu, kami gagal mencari ramuan yang terbaik bagi menghadapi saingan, jadi kami telah melakukan 10 pertukaran dan segala-galanya berubah untuk kami," katanya.

Berdasarkan persembahan Altidore, Pulisic dan penjaga gol, Bobby Wood, Arena menyatakan mereka telah bermain pada tahap yang terbaik.

"Kami telah berusaha untuk melancarkan serangan dengan lima pemain dan cuba beraksi dengan agresif. Kami perlu menjaringkan banyak gol dan ternyata kami telah mengakhiri perlawanan ini dengan sempurna," katanya lagi.