Penyerang Australia, Daniel Arzani, bakal terlepas saingan Piala Asia 2019 ekoran terpaksa menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

Arzani, 19, menderita kecederaan lutut itu ketika membuat penampilan pertama bersama Celtic dalam perlawanan menentang Dundee, minggu lalu.

Pemenang lima kali Anugerah Bakat Muda Terbaik Australia itu disahkan akan berehat sehingga musim depan, sekali gus turut terlepas peluang membantu negaranya mempertahankan gelaran Piala Asia, awal tahun depan.

"Terima kasih kepada semua yang meluangkan masa memberikan sokongan dan kasih sayang kepada saya," tulis Azrani dalam laman Instagramnya.

"Saya sedang berusaha sedaya-upaya untuk membalas setiap ucapan, namun saya kini berada dalam keadaan yang sukar selepas menerima makluman bahawa saya perlu menjalani pembedahan ACL yang memaksa saya menamatkan musim lebih awal.

"Saya memohon maaf kepada peminat Celtic kerana hanya mampu beraksi untuk 20 minit perlawanan.

"Ini merupakan permulaan kepada perjalanan saya dan saya berjanji akan kembali dengan lebih baik nanti.

"Fasa pemulihan saya akan bermula pada saat ini."

Australia akan menentang Syria, Palestin dan Jordan dalam saingan Kumpulan B, Piala Asia.