Arthur tidak berminat tinggalkan Barcelona untuk ke Juventus

Oleh Muzaffar Musa 30 April 2020 76
Arthur tidak berminat tinggalkan Barcelona untuk ke Juventus
Pemain tengah Barcelona, Arthur, tidak berminat untuk menyertai Juventus dan bercita-cita untuk kekal di Camp Nou untuk tempoh yang panjang.

Laporan di Sepanyol mendakwa Juve bersedia untuk membawa pemain kebangsaan Brazil itu ke Turin bagi menggantikan Miralem Pjanic, yang masa depannya masih belum jelas.

Isnin lalu, Mundo Deportivo mendakwa Barca sudah memberikan kebenaran untuk Juve berhubung dengan Arthur memandangkan pendahulu Serie A itu mampu memberikan tawaran yang jauh lebih baik berbanding skuad Blaugrana berkenaan, yang pemainnya bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 70 peratus sepanjang pandemic Covid-19 ketika ini.

Bagaimanapun, Arthur, yang menyertai juara LaLiga itu daripada Gremio pada 2018, dapat melihat masa depannya di Catalonia.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Mundo Deportivo, dia berkata: "Akan sentiasa ada spekulasi tetapi, sejujurnya, pemikiran saya amat jelas.

"Satu-satunya pilihan yang menarik minat saya adalah untuk terus berada di Barcelona.

"Saya berasa amat selamat dan tenang. Saya berasa amat baik di sini dan, tambahan pula, saya berterima kasih kepada  kelab dan pegawai teknikal di atas keyakinan mereka.

"Ia adalah salah satu sebab mengapa satu-satunya keinginan saya adalah untuk meneruskannya di sini.

"Menarik minat kelab yang hebat adalah satu pujian buat semua orang dan ia adalah satu petanda positif.

"Tetapi minda saya hanyalah untuk bermain di sini bagi tahun-tahun akan datang.

"Barca adalah tempat yang selalu saya inginkan dan saya ingin menjadi Blaugrana sejak sekian lama, mengatasi persoalan lain.

"Setiap hari, saya berasa lebih selesa dan sihat di sini, dalam pasukan, di kelab dan di bandar ini. 

"Juga , Saya sukakan orang dan budaya di sini dan saya berasa amat disokong oleh peminat," katanya.

Arthur, 23, telah melakukan 23 penampilan dalam kesemua kejohanan buat Barca musim ini walaupun berdepan masalah kecederaan.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen