Arthur sasar bantu Juventus tamatkan penantian 24 tahun UCL

Oleh Shaiful Shamsudin 3 September 2020 157
 Arthur sasar bantu Juventus tamatkan penantian 24 tahun UCL
Pemain tengah Juventus, Arthur, berharap dapat bergandingan dengan Cristiano Ronaldo bagi "merealisasikan impianya" meraih kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) di kelab barunya itu.

Pemain antarabangsa Brazil itu menyertai jaguh Serie A tersebut menjelang kempen 2020-21 sementara Miralem Pjanic menuju ke arah bertentangan.

Arthur menghabiskan dua musim bersama Lionel Messi di Barca dan kini bakal menikmati prospek untuk beraksi di samping seorang lagi pemenang unggul Ballon d'Or, Ronaldo.

"Saya menikmati keistimewaan untuk beraksi dengan pemain handalan. Beraksi dengan Ronaldo ibarat merealisasikan impian," katanya kepada media.

"Hari ini adalah hari yang sangat penting buat saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, pengurus, Fabio (Paratici, ketua pegawai bola sepak) dan semua pihak yang telah menyambut saya."

Juventus memenangi Scudetto kesembilan berturut-turut musim lalu tetapi memecat pengurus, Maurizio Sarri, sejurus tewas kepada Lyon dalam pusingan 16 UCL.

Bekas pemain tengah ikonik kelab itu, Andrea Pirlo, kemudian dilantik sebagai pengganti Sarri, justeru Arthur menganggap ia satu penghormatan untuk beraksi di bawah pengurus berbangsa Itali berkenaan yang belum pernah mengendalikan pasukan di peringkat senior.

 
"Saya belum bercakap dengan pengurus secara terperinci. Tetapi dia pernah menampilkan permainan dengan cara yang unik, berbeza dengan yang lain. Saya berasa adalah satu keistimewaan untuk dibimbing pengurus sepertinya," katanya.

"Sesiapa yang berminat dengan bola sepak pasti pernah mengikuti kariernya."

Arthur memenangi dua trofi ketika di Camp Nou tetapi Barca gagal dalam kedua-dua kempen UCL.

Sudah 24 tahun sejak Juve kali terakhir memenangi trofi kejohanan kelab utama Eropah itu, lantas Arthur mahu mengubahnya.

"Ia salah satu sebab utama saya ke mari," katanya. 

"Di sini saya boleh beraksi bersama pemain hebat dan projek Juventus sangat bercita-cita tinggi.

"UCL adalah keutamaan kami. Saya akan bekerjasama dengan rakan sepasukan demi mencapai matlamat itu dan banyak lagi gelaran yang lain.

"Kita bercakap tentang Juventus, sebuah kelab dengan sejarah yang unik. Ia sebuah pasukan dengan struktur penting - semua faktor ini akan menjadikannya unik."


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen