Arthur tersenarai dalam kunjungan skuad Barcelona ke laman Celta Vigo malam ini biarpun sedang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus.

Pemain kebangsaan Brazil itu dikhabarkan akan terlibat dalam satu perjanjian pertukaran untuk membawa Miralem Pjanic ke Camp Nou, dengan terdapat laporan mendakwa ia berpunca daripada kegagalannya menggantikan tempat Xavi sejak tiba daripada Gremio pada 2018.

Di sebalik laporan itu, ketua jurulatih Barca, Quique Setien, menegaskan dalam sidang media semalam bahawa kelab itu tidak memaklumkan kepadanya bahawa pemain berusia 23 tahun itu akan meninggalkan pasukan.

Bagaimanapun, Setien memberikan bayangan mengenai kebenaran khabar angin minat Juve itu dengan berkata: "Jika ia berlaku, saya akan meyakinkannya untuk meninggalkan satu tanggapan yang baik."

Arthur kelihatan dapat dijadikan pilihan dalam perlawanan di Balaidos itu malam ini selepas terpilih dalam kunjungan berkenaan tetapi berkemungkinan tidak akan berada dalam kesebelasan utama memandangkan Setien lebih gemar menggunakan Riqui Puig di bahagian tengah.

Kemenangan ke atas Vigo bermakna Barca akan kembali ke puncak LaLiga mengatasi Real Madrid walaupun skuad Los Blancos itu dijangka mudah untuk kembali memintas dalam pertemuan menentang pasukan tercorot, Espanyol, malam esok.