Mikel Arteta bertahan dengan keputusannya untuk mengetepikan Pierre-Emerick Aubameyang untuk perlawanan Liga Europa ketika Arsenal bertemu Slavia Prague dan menyokong perkembangan pasukannya, walaupun seri 1-1 dalam aksi pertama suku akhir awal pagi tadi.

Kapten kelab, Aubameyang, antara pemain yang berada di bangku simpanan ketika tewas 3-0 kepada Liverpool dan sekali lagi tidak diperkenalkan sehingga minit ke-78 bertemu Slavia dengan perlawanan masih lagi tanpa jaringan.

Pemain kebangsaan Gabon itu melakukan impak ketika bergandingan bersama Nicolas Pepe bagi jaringan pembukaan Arsenal lapan minit kemudian -- penglibatan jaringan yang ke-100 buat Arsenal dalam semua pertandingan sejak berhijrah dari Borussia Dortmund Januari 2018.

Arsenal gagal melihat kemenangan di laman sendiri, dengan Tomas Holes meraih gol penyamaan pada minit ke-93 yang menjadikan The Gunners memerlukan sekurang-kurangnya satu gol pada perlawanan awal minggu depan di ibu negara Czech.

Tetapi walaupun Alexandre Lacazette terlepas peluang terhidang sementara Bukayo Saka turut sama, Arteta berasakan dia memilih kesebelasan utama yang tepat menentang Slavia.

"Saya fikir pemain yang saya pilih melangkah masuk dalam perlawanan ini telah memberikan segalanya," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan. "Kami berjaya mengendalikan permainan dengan sangat baik. Kami jauh lebih agresif hari ini dan kami mencipta beberapa peluang besar.

"Ketika saya membuat penggantian, saya berasa itu adalah masa yang tepat untuk melakukannya. Sama ada saya sepatutnya melakukannya lebih awal atau tidak, siapa yang tahu?"


Arteta mengesahkan menjelang permainan bahawa Aubameyang diketepikan kerana alasan taktikal dan dia gembira dengan respons yang ditunjukkan oleh penyerang itu, yang memiliki 14 gol dalam 33 penampilan musim ini.

"Ketika dia datang dia menunjukkan sikap yang tepat," kata pengendali dari Sepanyol itu. "Saya tidak dapat bercakap dengan semua orang secara berasingan setiap minggu, tetapi kami berusaha sebaik mungkin."

Jaringan penyamaan Holes merupakan gol pertamanya dalam saingan Eropah dan memaksa Arsenal untuk sekali lagi berusaha mendapakn jaringan di Prague minggu depan.