Mikel Arteta memberi amaran kepada Bernd Leno dan Arsenal selepas kesilapan penjaga gol itu hampir membuatkan mereka tewas kepada Rapid Vienna dalam perlawanan Liga Europa awal pagi tadi.

Dua gol dalam masa empat minit daripada David Luiz dan Pierre-Emerick Aubameyang memastikan kemenangan 2-1 The Gunners selepas Taxiarchis Fountas meletakkan tuan rumah di depan dalam perlawanan di Austria itu.

Fountas memanfaatkan kesilapan Leno untuk membuka jaringan dan dua lagi kesilapan penjaga gol Arsenal itu memberikan peluang yang gagal disudahkan penyerang kebangsaan Greek berkenaan.

Leno kini telah melakukan lapan kesilapan yang menjadi punca gol lawan dalam kesemua kejohanan sejak permulaan musim 2018-19, rekod ketiga terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris di belakang David de Gea (9) dan Jordan Pickford (11).

Arteta menggalakkan pasukannya untuk memulakan gerakan dari bawah tetapi mengakui terdapat situasi di mana mengeluarkan bola adalah pilihan yang lebih baik.

"Ia sebahagian daripada permainan," katanya kepada wartawan.

"Kami perlu faham bila kami boleh melakukannya dan bila kami perlu mengeluarkan bola.

"Mereka akan lebih memahami tentang jenis permainan yang kami perlukan di kawasan itu dan siapa yang perlu terlibat untuk menangani tekanan yang datang.

"Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami menjadikannya lebih sukar dengan dibolosi pada awal permainan.

"Saya benar-benar sukakan reaksi yang diberikan. Dalam babak kedua, kami lebih memahami ruang yang kami perlu melakukan serangan.

"Secara keseluruhan, kami menjaringkan dua gol, gol kedua itu amat hebat. Kami gembira kerana bermula dengan kemenangan," katanya.