Arsenal rencatkan kemenangan Cougars

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2017 604
 Arsenal rencatkan kemenangan Cougars
COUGARS 1 ARSENAL 2

Hasrat pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Cougars memburu kemenangan kedua dalam saingan B-14 Piala Supermokh 2017 tidak kesampaian apabila tumpas 2-1 kepada wakil England, Arsenal, pagi tadi. 


"Pemain harus meningkatkan disiplin bertahan. Mereka perlu turun bertahan membantu rakan-rakan. Ia perlu ditingkatkan lagi. 

"Kami sentiasa memastikan mereka terus meningkat dari masa ke semasa dan prestasi mereka konsisten. Secara keseluruhan, saya belum berpuas hati lagi," kata jurulatih Cougars, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah.

Saingan di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) itu menyaksikan Cougars serta Arsenal turun dengan misi tiga mata untuk mendahului kumpulan B. 

Babak pertama menyaksikan corak berhati-hati dipamerkan kedua-dua pasukan dalam merencanakan serangan. Arsenal bagaimanapun lebih selesa dengan penguasaan bola dan hasilnya mereka di depan pada minit ketujuh. 

Ruang yang dimiliki Daniel Oyegoke bijak disudahkan dengan percubaan yang menewaskan Syahmi Adib Haikal yang mengawal pintu gol Cougars. 

Lapan minit berselang, Arsenal menggandakan pendahuluan, kali ini Omari Hutchinson menyempurnakan hantaran dari sebelah kanan padang. 

Bersambung babak kedua, Arsenal mula memperlahankan rentak permainan akibat faktor kepenatan. 

Kesempatan itu cuba dimanfaatkan Cougars yang merapatkan jurang apabila Muhammad Aznil Hafiz Azhar menewaskan Hubert Grazyck bagi kedudukan 2-1 pada minit ke-60. 

Meskipun Cougars terus mengasak, Arsenal kental bertahan untuk meraih kemenangan. 

"Pemain saya bekerja keras. Saya telah berpesan kepada pemain mengenainya jika mereka mahu meraih keputusan positif dan mereka perlu mengambil kesempatan yang hadir," kata jurulatih Arsenal, Ryan Garry.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen