Pengurus Arsenal, Unai Emery, menghormati keputusan lewat Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk memindahkan pertembungan Liga Europa dengan Vorskla ke Kiev.

Disebabkan kebimbangan isu keselamatan, pertemuan Kumpulan E itu telah dipindahkan ke Stadium Olimpiyskiy, gelanggang perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) tahun ini dari bandar Poltava.

Emery, yang pasukannya sudah mendapat tempat dalam pusingan kalah mati, menjelaskan beliau faham mengapa badan pentadbir membuat perubahan itu.

"Pertama sekali, kami perlu menghormati keputusan UEFA kerana ia tidak mudah untuk melangsungkan perlawanan di Vorskla. Ia bukan keputusan mudah buat UEFA," katanya dalam sidang akhbar.

"Bagi kami, semalam kami bersiap untuk perjalanan kami ke Poltava, kemudian kami perlu menunggu keputusan dimuktamadkan pada malam hari.

"Kami membuat perubahan kecil dalam sesi latihan kami di London dan kami baru sahaja tiba di sini. Kami menghormati keputusan ini."

Stephan Lichtsteiner menjalani latihan penuh bersama Arsenal selepas dilanda kecederaan hamstring sementara situasi Laurent Koscielny (tumit) akan dinilai setelah pertahanan itu kembali meneruskan pemulihannya dengan beraksi bersama skuad B-23 kelab berkenaan, Isnin lalu.

Sementara itu, Emery menerima berita baik apabila Alexandre Lacazette (pangkal paha) juga sedang dinilai sebelum pertembungan awal pagi nanti.

Biarpun perubahan venue perlawanan itu memberi kesan kepada persediaan Arsenal, Emery terdesak untuk memastikan pemainnya tetap fokus.

"Cuaca sangat sejuk di sini, sama seperti di Poltava, tetapi kami akan beraksi di bawah cuaca ini. Kami bersedia untuk perlawanan ini daripada segi pemain selain menghormati Vorskla," katanya.

"Kami hanya mahu beraksi untuk menang dan menunjukkan kepada setiap penyokong bahawa kami mmapu melakukannya dengan baik."

Arsenal, yang akan menjadi tuan rumah kepada seteru setempat, Tottenham, dalam Liga Perdana hujung minggu ini, memerlukan kemenangan untuk mengesahkan kedudukan teratas kumpulan itu.