Marko Arnautovic meluahkan kebanggaannya selepas mengetuai Austria dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA ketika merakamkan kemenangan ke atas Ireland Utara, awal pagi tadi.

Penyerang West Ham itu mengambil alih tugas Julian Baumgartlinger yang tidak beraksi dan menggunakan peluang tersebut dengan menjaringkan gol kemenangan menewaskan Bailey Peacock-Farrell pada minit ke-71.

Skuad kendalian Franco Foda itu berdepan pendahulu Kumpulan B3, Bosnia-Herzegovina, di laman sendiri dan akan berkunjung ke Ireland Utara untuk aksi Liga Negara-Negara UEFA seterusnya dan Arnautovic mahu memastikan kemenangan buat pasukannya.

"Ia merupakan persembahan yang baik," kata Arnautovic.

"Kami mendominasi keseluruhan permainan. Ireland Utara hanya memiliki satu peluang menerusi sepakan percuma.

"Austria memiliki beberapa peluang tetapi hanya menjaringkan satu gol.

"Perlawanan ini sangat bermakna kerana saya dipilih untuk menjadi kapten pasukan, mengetuai skuad kebangsaan melakar kemenangan. Tiga mata yang penting dan kami mahu meneruskan momentum ini.

"Kami akan berusaha untuk mengatasi Bosnia di laman sendiri sebelum berkunjung ke Ireland Utara."

Pengendali Ireland Utara, Michael O'Neill, berpuas hati dengan perlawanan apabila membariskan beberapa pemain muda dalam kesebelasan utama.

Pemain Norwich City, Jamal Lewis, 20, beraksi di bek kiri manakala penjagol gol berusia 21 tahun Leeds United, Peacock-Farrel, melakukan dua aksi menyelamat.

"Ini merupakan proses pembelajaran untuk beberapa pemain yang diturunkan dalam perlawanan ini.

"Jamal Lewis dan Bailey merupakan pemain daripada skuad B-21 tahun.

"Kami akan berusaha untuk meraih mata dalam perlawanan-perlawanan seterusnya bagi memastikan slot ke Euro 2020."