Presiden Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), Claudio Tapia, berkata baki musim ini akan dibatalkan berikutan penularan novel koronavirus (Covid-19).

Boca Juniors sudah mengesahkan gelaran Divisyen Primera pada hari terakhir kempen itu bulan lalu, tetapi pandemik tersebut menggugat seluruh Argentina.

Dengan saingan bola sepak Argentina masih tergantung sejak bulan lalu, semalam Tapia mengisytiharkan musim ini telah berakhir tanpa ada penyingkiran dalam tempoh dua musim ekoran gangguan tersebut.

"Kami memutuskan untuk mengakhiri kejohanan ini," katanya kepada TNT Sports sebelum AFA secara rasminya mengesahkan keputusan itu sebentar tadi.

"Kami bercadang untuk mengadakan semula perlawanan apabila pihak berkuasa membenarkannya dengan memperkenalkan ciri-ciri keselamatan yang maksimum."

Penyingkiran pasukan kelab akan dibuat berlandaskan kutipan mata dalam setiap perlawanan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini manakala pasukan yang dinaikkan pangkat akan meneruskan kemaraan.

Tapia, bagaimanapun, tidak menjelaskan divisyen yang mana satu.

Skuad asuhan Diego Maradona, Gimnasia Y Esgrima La Plata, itu antara tiga kelab tercorot di zon penyingkiran walaupun mereka akan kekal dalam saingan peringkat teratas itu.

Sementara itu, kejohanan Copa Superliga yang melibatkan 24 pasukan -- dijadualkan berakhir bulan depan -- telah pun dibatalkan.

"Kami menghormati langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dan kami mesti mematuhinya," tambahny.

"Ketika bola sepak berhenti, ia bukan diputuskan oleh presiden bola sepak Argentina, sebaliknya oleh menteri kesihatan.

"Kemanusiaan perlu didahulukan. Sekiranya kami mengambil keputusan tergesa-gesa dan penularan berlaku maka kami akan kembali seperti ke keadaan 10 atau 11 Mac lalu dan ia akan menjadi tidak bermakna. Kita semua mahukan aksi diadakan tetapi kita perlu menunggu. Kehidupan adalah lebih penting."

Terdapat lebih daripada 190 kematian dicatatkan sementara lebih daripada 3,890 kes positif telah disahkan di Argentina.