Ketua jurulatih Brazil, Tite, percaya Argentina pasti tidak lena tidur memikirkan mereka mungkin terlepas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1970.

Argentina, yang diperkuatkan dengan kehadiran Lionel Messi, berada di kedudukan luar slot kelayakan Piala Dunia zon CONMEBOL dan berdepan ancaman gagal layak ke Russia 2018 dalam pertemuan wajib menang ke atas Ecuador di altitud tinggi di Quito.

Juara dua kali dan finalis tiga tahun lalu itu merupakan pasukan yang sering mewarnai temasya berkenaan sejak tercicir dalam edisi 1970 di Mexico, namun tiga keputusan seri menyaksikan mereka tercicir dalam perebutan play-off menerusi perbezaan gol.

Sementara itu, gergasi Amerika Selatan, Brazil, telah mengesahkan tempat untuk ke pusingan akhir tahun depan dan tiada apa yang perlu dipertaruhkan ketika skuad Selecao itu akan berdepan Chile di Sao Paulo -- hasil pertemuan itu akan menjejaskan peluang Argentina, namun Tite menegaskan ia bukan isunya.

"Saya mahu persaingan ini menjadi adil," kata Tite kepada pemberita.

"Ia akan membantu kami beraksi dengan baik.

"Saya mempunyai rakan di Argentina. Saya amat menghormati Jose Pekerman di Colombia dan sedar dengan kemampuan Chile."

Argentina yang dibimbing Jorge Sampaoli (25 mata) berada di tangga keenam selepas seri tanpa jaringan dengan Peru, bagaimanapun kemenangan akan melonjakkan Ecuador untuk memintas Colombia (26 mata) atau Peru (25 mata) yang akan bertemu di Lima.

Juara bertahan Copa America, Chile (26 mata), berada di kedudukan ketiga di belakang Uruguay (28 mata) yang tidak konsisten manakala juara kumpulan, Brazil (38 mata).

Paraguay di tangga ketujuh dengan 24 mata juga masih berpeluang untuk layak.

"Kelayakan untuk ke Piala Dunia bukan kerana satu perlawanan sahaja, ia mengenai kempen ini secara keseluruhan," kata Tite yang berminat untuk terus menjawat jawatan itu selepas Piala Dunia.

"Kami saling berterima kasih kerana sudah layak.

"Saya tidak dapat membayangkan bagaimana dengan pasukan lain; mereka mesti berdepan kesukaran untuk tidur. Kami akan melakukan apa yang penting buat kami, demi maruah penyokong. Pasukan lain akan menuai hasil kerja mereka," katanya.