Argentina, Uruguay dan Paraguay telah mengumumkan hasrat mereka untuk mengambil bahagian dalam bidaan bagi menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi 100 tahun pada 2030.

Presiden ketiga-tiga negara itu bertemu hari ini dan mendedahkan rancangan mereka dalam sidang media di ibu negara Argentina, Buenos Aires.

Proses bidaan belum ditetapkan sehingga 2021 tetapi Argentina, Uruguay dan Paraguay sudah melahirkan hasrat menjadi penganjur pada tahun tersebut yang pastinya menjadi perebutan sengit.

Uruguay adalah tuan rumah pertama Piala Dunia pada 1930 dan penyertaan mereka sebagai penganjur bersama 100 tahun kemudian pastinya lebih menarik.

Presiden Paraguay, Horacio Cartes, berkata: "Kami tahu ada negara-negara lain yang mahukannya tetapi saya rasa ulang tahun 100 tahun Piala Dunia di Uruguay menjadikan rantau ini satu prospek sangat menarik."

Rakan sejawatan Cartes di Argentina, Mauricio Macri, mendedahkan bahawa Uruguay adalah perancang awal untuk membuat bidaan bersama, dan ia tidak mengambil masa lama untuk mencapai persetujuan.

"Idea asal adalah dari Uruguay dan kami mengambil masa 40 saat untuk mengatakan ya," tambah Macri.

"Dan apabila Paraguay mengemukakan cadangan, saya mengambil masa 40 saat lagi untuk bersetuju. Uruguay sangat positif mengenai penyertaan mereka dan saya fikir ia memberikan pencalonan lebih banyak kuasa."

Walaupun Uruguay dan Argentina (1978) telah menjadi tuan rumah kejohanan sebelum ini, ia akan menjadi sejarah baru buat Paraguay, yang tidak memenangi bidaan mana-mana tiga Piala Dunia terakhir di Amerika Selatan.