APOEL 1 BORUSSIA DORTMUND 1

Peter Bosz sedar Borussia Dortmund berdepan tugas perit untuk meneruskan kemaraan dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) susulan kegagalan menewaskan APOEL, awal pagi tadi.


Jaguh Bundesliga itu masih memburu kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan H apabila seri 1-1 di Cyprus sehingga meletakkan Dortmund tercicir enam mata di belakang penyandang juara, Real Madrid, dan Tottenham Hotspur.

Lonjakan tinggi Sokratis Papastathopoulos memadam gol awal Mickael Pote susulan kesilapan penjaga gol Dortmund, Roman Burki.

Pierre-Emerick Aubameyang berpeluang untuk membantu Dortmund mencatat kemenangan pada minit akhir permainan, bagaimanapun tandukan penggempur itu dinafikan oleh penjaga gol gantian, Raul Gudino, serta tiang gol.

"Keputusan ini mengecewakan. Kami memulakan permainan dengan baik, namun gagal mengekalkan rentak. Kami semakin perlahan dan beraksi buruk," kata Bosz kepada UEFA.com.

"Kami perlu melihat diri sendiri. Kami terlalu perlahan untuk menghantar bola ke depan, kami cuba untuk memperbaikinya, namun tidak dapat melakukannya.

"Adalah penting merakamkan gol pertama dalam perlawanan seperti ini. Kami memiliki peluang pada babak pertama dan gagal memanfaatkannya.

"Keputusan di Madrid juga tidak bagus untuk kami. Kami sedar ia semakin susah, namun kami perlu menang di tempat sendiri ke atas APOEL dan bergantung kepada keputusan dalam dua perlawanan terakhir nanti."

Bosz, bagaimanapun, mempertahankan Burki yang turut berdepan kritikan dalam perlawanan sebelum ini selepas dua kali gagal menutup ruang di tepi tiang dalam kekalahan 3-1 kepada Tottenham Hotspur di Wembley.

"Roman sering membantu pasukan pada musim ini," tambahnya lagi.

"Perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak, dia perlu berdepan dengannya. Kami tidak akan menyalahkannya."