"Apa silap saya?," itu reaksi kecewa pemain tengah skuad B-23 negara, Khairil Anuar Zamri, yang seakan-akan tidak percaya apabila tidak tersenarai dalam skuad akhir 23 pemain ke Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, bulan depan.

Khairil Anuar yang mesra disapa Beto adalah antara tiga pemain yang digugurkan daripada skuad muda negara ke Kejohanan AFC.

Gagal menyembunyikan perasaannya, ini merupakan kali kedua Beto kempunan untuk membarisi pasukan berkenaan selepas turut digugurkan daripada skuad Sukan SEA, Ogos lalu.

Tidak menyalahkan sesiapa termasuk jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, pemain Perak ini bagaimanapun masih terkejut dengan keputusan itu.

"Saya tidak pasti apa salah saya tidak terpilih ke China. Saya telah berusaha yang terbaik untuk beraksi bersama skuad B-23," kata Khairil Anuar.

"Ternyata ia amat mengecewakan kerana ini merupakan kali terakhir saya beraksi dalam saingan peringkat umur."

Kim Swee menjelaskan tiga pemain yang digugurkan itu dilihat masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama.

Beto ditemui sejurus tiba di tanahair dari Korea Selatan semalam bersama dua pemain lain yang turut disisihkan, Raphi Azizan Mariappen dan K. Thivandaran.

"Saya mendoakan mereka akan berjaya di sana dan berusaha untuk mencipta kemenangan," kata Thivandaran.