Anugerah UEFA: Lewandowski, Flick menang kategori utama

Oleh Muzaffar Musa 2 Oktober 2020 163
Anugerah UEFA: Lewandowski, Flick menang kategori utama
Bayern Munich menambah dua lagi kejayaan selepas merekodkan kejuaraan 'treble' musim lalu apabila penyerangnya, Robert Lewandowski, dan ketua jurulatih, Hansi Flick, menerima anugerah individu utama Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) awal pagi tadi.

Lewandowski menjaringkan 55 gol musim lalu, termasuk 15 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), untuk dinamakan sebagai pemenang Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Tahunan UEFA manakala Flick pula menerima Anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik Tahunan.

Musim lalu menyaksikan Bayern menyapu bersih kejuaraan Bundesliga, DFB Pokal dan UCL untuk melengkapkan gelaran 'treble'.

Bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Jerman, Flick, mengambil alih Bayern pada November lalu selepas pasukan itu melalui permulaan perlahan di bawah kendalian Niko Kovac dan prestasi mereka selepas itu meningkat secara mendadak.

Pasukan gergasi Jerman itu turut menjuarai Piala Super UEFA dan DFL Supercup pada minggu pertama musim ini, bermakna mereka telah memenangi lima trofi berturut-turut.

Lewandowski, yang mentepikan dua pencabar lain anugerah itu, iaitu Manuel Neuer dan Kevin de Bruyne, berkata: "Saya perlu katakan bahawa ini adalah perasaan yang luar biasa.

"Jika anda bekerja keras dan anda menerima trofi, ia adalah sesuatu yang luar biasa."
 
Dalam majlis UEFA itu, Neuer memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik Tahunan manakala pemain serba boleh, Joshua Kimmich, pula dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pertahanan Terbaik Tahunan.

Lewandowski turut membawa pulang trofi Anugerah Penyerang Terbaik Tahunan di samping anugerah utamanya.

Skuad Bavarians itu hampir menyapu bersih semua kategori tetapi bintang Manchester City, Kevin de Bruyne, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Tengah Terbaik Tahunan UEFA.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen