Pemain Pulau Pinang, Faiz Subri, enggan meletakkan harapan tinggi untuk memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016 walaupun jaringan ajaibnya semakin mendapat tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Ketika ini, jumlah tontonan video jaringan pemain itu dalam laman YouTube sudah melebihi dua juta, dengan tinggal 22 hari sahaja untuk majlis anugerah berkenaan.

Ditanya mengenai peluang memenangi anugerah jaringan tercantik itu, Faiz sebaliknya berkata berada dalam kelompok tiga terbaik sudah dianggap pencapaian besar dalam kerjaya bola sepaknya.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi anugerah itu dan saya sudah bersyukur kerana berada dalam tiga terbaik. Ia sudah dianggap bonus untuk saya dan seluruh rakyat Malaysia.

"Sekarang ini (tiga terbaik) pemilihan mengikut undian. Jadi, ia terpulang kepada penonton yang menyaksikan jaringan-jaringan itu," katanya ketika hadir sesi ukuran badan bagi tajaan sut dari Kinslager di ibu negara, hari ini.

"Saya rasa gementar pun ada sebab ini kali pertama saya cuba memakai kot. Insya-Allah, kalau rezeki berpihak kepada saya, saya terima seadanya," tambahnya.

Pemain berusia 29 tahun itu mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak pertama negara yang tersenarai sebagai calon Anugerah Puskas.

Jaringan tersebut dilakukan Faiz Subri ketika perlawanan Liga Super di antara Pulau Pinang dan Pahang, 16 Februari lalu.

Faiz dan keluarganya akan menghadiri Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.