Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, tidak menyangka memenangi anugerah Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 malam tadi.

"Saya tidak terfikir akan menang kerana terdapat dua lagi calon, iaitu Irfan Bakti Abu Salim dan B. Sathianathan.

"Dua tokoh itu cukup berwibawa kerana mencapai banyak kejayaan bersama pasukan masing-masing, " katanya.

Dalam majlis di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, Perak turut memenangi satu lagi anugerah melalui Shahrul Saad yang dinobat Pemain Pertahanan Terbaik.

"Apapun, saya berbangga dengan kejayaan ini dan menganggapnya sebagai kejayaan seluruh pasukan Perak kerana tanpa sokongan dan kerjasama pemain, staf kejurulatihan dan kepimpinan persatuan tidak mungkin kami berjaya, " tambah Durakovic.

Jurulatih berasal dari Australia itu berkata dia beruntung kerana mendapat sekumpulan pemain yang berdisiplin tinggi, berdedikasi dan profesional.

"Kami menjalin hubungan akrab bagaikan satu keluarga.

"Itu membuatkan tugas saya menjadi lebih senang," katanya lagi.

Kejayaan malam tadi menyemarakkan semangat Durakovic untuk menghasilkan kerja-kerja bermutu bersama pasukan kendaliannya, musim depan.

"Memberi yang terbaik adalah moto saya.

"Di mana juga saya pergi, saya mahu meninggalkan legasi baik," ujarnya.