Anugerah Golden Boy: Erling Haaland dinobat pemenang

Oleh Muzaffar Musa 21 November 2020 783
Anugerah Golden Boy: Erling Haaland dinobat pemenang
Bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, menerima habuan di atas prestasi menakjubkannya sepanjang tahun ini apabila dinamakan sebagai pemenang Anugerah Golden Boy 2020.

Anugerah itu, yang dianjurkan oleh Tuttosport dan dimenangi Joao Felix tahun lalu, merupakan satu pengiktirafan buat pemain terbaik di bawah usia 21 tahun yang beraksi dalam liga divisyen utama Eropah.

Dan pemain kebangsaan Norway, Haaland, diumumkan sebagai pemenang dalam halaman utama Tuttosport dengan menewaskan pencabar lain seperti rakan sepasukannya di Dortmund, Jadon Sancho, Alphonso Davies (Bayern Munich), Mason Greenwood (Manchester United) dan Ansu Fati (Barcelona).

Dortmund memenangi perebutan untuk mendapatkan Haaland daripada Salzburg pada Januari lalu dan dia mencuri tumpuan dalam musim pertamanya di Signal Iduna Park dengan menjaringkan 27 gol daripada 29 penampilan dalam kesemua kejohanan buat kelab itu.

Haaland menjaringkan enam gol daripada enam penampilan Bundesliga musim ini.

Penyerang Norway itu mempunyai peratusan penyudahan peluang (62.5 peratus) yang lebih tinggi berbanding Robert Lewandowski (53.9 peratus) dalam Bundesliga musim ini walaupun penyerang Poland itu menjaringkan lebih lima gol dengan jumlah perlawanan sama.

Pemain berusia 20 tahun itu telah menemui sasaran sebanyak empat kali dalam tiga perlawanan Liga Juara-Jauara Eropah (UCL) musim 2020-21 dan secara keseluruhan telah menjaringkan 11 gol daripada 11 penampilan dalam kesemua kejohanan.
 
Haaland terus dikaitkan untuk menyertai kelab-kelab besar Eropah yang lain sepertu juara LaLiga, Real Madrid, dan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, tetapi bapanya, Alf-Inge Haaland, menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan.

"Apabila anda bermain baik, ia sesuatu yang logik untuk kelab besar mengetuk pintu anda tetapi kita sedang bercakap mengenai spekulasi," katanya kepada SPORT1.

"Buat masa ini, tiada dalam fikiran Erling atau saya bahawa kelab lain akan bersaing untuk mendapatkannya.

"Kami menandatangani kontrak jangka panjang bersama Dortmund dan mereka pasukan yang hebat buat Erling ketika ini. Kami tidak mahu melihat terlalu jauh," katanya.

Di tanya sama ada jendela perpindahan kali ini akan memungkinkan perpindahan anaknya atau tidak, dia menambah: "Kita tidak akan tahu apa yang akan terjadi. Kami masih belum berbincang mengenai langkah seperti itu.

"Saya fikir kami mahu memenangi beberapa trofi bersama Dortmund. Itulah sasarannya.

"Erling masih boleh mencapai banyak perkara di Jerman dan berkembang dengan amat hebat. Berpindah ke luar negara bukanlah satu keperluan buat kami.

"Adakalanya saya berfikir dia mahu dan boleh menyertai mana-mana liga.

"Buat masa ini, dia gembira dalam Bundesliga dan fokus kepada Dortmund.

"Dia hanya mahu menjadi pemain yang lebih bagus dan tidak melihat terlalu jauh," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen