Bintang Atletico Madrid, Joao Felix, merangkul gelaran pemain B-21 terbaik dunia dengan memenangi Anugerah Budak Emas 2019 apabila menewaskan pemain Borussia Dortmund, Jadon Sancho.

Pemain antarabangsa Portugal itu diperkenalkan oleh Benfica musim lalu dan pantas mengukuhkan tempatnya dalam skuad utama apabila menonjol daripada segi ketangkasan, keupayaan kawalan bola dan kemampuan penyudahnya sehingga dibandingkan dengan pemain tersohor Brazil dan Milan, Kaka.

Dia menamatkan musim 2018-19 dengan 15 gol dalam kancah Liga Primeira ketika diturunkan 21 kali dalam kesebelasan utama selain memperkuatkan Portugal dalam kejayaan Liga Negara-Negara Eropah.

Prestasi Joao Felix itu pantas mencetuskan spekulasi perpindahannya dan walaupun beberapa kelab terbesar di Eropah dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya, Atletico menawarkan kontrak €126 juta (RM578.7j) pada Julai lalu apabila mengenal pastinya sebagai pengganti sesuai buat Antoine Griezmann.

Walaupun penggempur berkenaan belum menyerlah dalam LaLiga setelah hanya menyumbat dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan dalam 10 penampilan, barisan panel yang terdiri daripada 40 wartawan itu mengundi Joao Felix sebagai pemenang Anugerah Tuttosport berkenaan lalu menjadikannya sebagai pemain Atletico yang pertama sejak Sergio Aguero meraihnya pada 2007.

Joao Felix sempat menyebut kesan yang dicetuskan pengurus Benfica, Bruno Lage, dalam kariernya ketika berucap menerima anugerah berkenaan.

Dia memberitahu media Itali: "Terima kasih kepada Tuttosport atas Anugerah Budak Emas 2019, saya sangat bangga.

"Ia merupakan kali kedua pemain daripada Atletico Madrid memenangi anugerah ini dan saya gembira.

"Terima kasih juga kepada Benfica, khususnya kepada jurulatih, Bruno Lage, atas semua yang telah dilakukannya buat saya dan keluarga saya."

Joao Felix menerima 332 mata undian untuk dinamakan sebagai pemenang manakala pemain berbakat England, Sancho, menamatkan pemilihan itu sebagai naib juara dengan 175 undian walaupun dikatakan telah mengharungi musim yang lebih tekal dan Kai Havertz pula di tempat ketiga dengan 75 undian.

Pemain berusia 20 tahun itu -- yang kembali beraksi Sabtu lalu selepas sebulan tercedera -- mengikut jejak Matthijs de Ligt, Kylian Mbappe dan rakan senegaranya, Renato Sanches, untuk ditabalkan sebagai Budak Emas.