Bintang Barcelona, Ansu Fatti, menjalani rawatan penjanaan semula biologi kecederaan lutut yang dialaminya sebagai sebahagian proses permulihan.

Pemain sayap itu dijangka perlu berehat selama empat bulan pada November lalu selepas menjalani pembedahan terhadap koyakan meniscus dalaman di lutut kirinya.

Barca mengesahkan semalam bahawa proses pemulihan Fati sedang "melalui perjalanan yang amat memuaskan".

Fati menjaringkan lima gol dan menghasilkan dua bantuan jaringan sepanjang 10 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini sebelum mengalami kecederaan itu ketika menentang Real Betis.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu dijangka akan kembali beraksi pada Mac depan dan bermakna dia berkemungkinan besar akan terlepas perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 16 Februari depan.

Barca tewas dua daripada tiga perlawanan LaLiga pertama selepas Fati cedera tetapi kemudian memenangi empat dan seri sebanyak dua kali dalam enam pertemuan selepasnya.

Mereka kini berada di tangga kelima liga dengan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, yang telah bermain lebih satu perlawanan.