Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, membayangkan skuad The Red Warriors (TRW) akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akibat kegagalan mencari sumber kewangan mencukupi bagi pembayaran gaji pemain.

“Masalah utama yang dihadapi KAFA sekarang adalah bagaimana untuk membayar gaji pemain sepanjang musim 2017 dan bukannya untuk tarik diri atau tidak dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Kalau teruskan juga (sertai Liga-M) tetapi tidak mampu membayar gaji pemain, tidak ada gunanya.

"Kecuali pemain sendiri sanggup bermain tanpa sebarang bayaran dan sudah pasti Kelantan tak perlu tarik diri. Jadi, semua masalah akan selesai,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan dialog bersama penyokong Kelantan di Kubang Kerian, petang semalam.

Annuar yang dianggap sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan tetap menunggu dengan penuh sabar sebarang keputusan Kongres Luar Biasa KAFA, Khamis ini, sebelum memutuskan sebarang bantuan yang bakal dihulurkan.

“Saya mohon bendahari secara telus memaklumkan kepada semua ahli gabungan yang hadir dalam Kongres Luar Biasa itu jumlah pendapatan yang diperoleh dan ke mana akan dibelanjakan pada musim 2017 nanti.

“Saya kena berlaku jujur kepada diri sendiri. Setakat tajaan RM5 hingga RM7 juta, saya masih mampu berusaha sendiri, namun jika melebihi RM15 juta, saya tidak mampu dan perlukan sokongan daripada pihak yang sayangkan bola sepak Kelantan,” katanya.

Ditanya adakah beliau masih berminat untuk menerajui KAFA setelah melepaskan jawatan itu secara mengejut, awal November lalu, Annuar tetap dengan keputusannya untuk memberi peluang kepada muka baharu yang boleh membawa perubahan kepada skuad TRW ini.

“Saya tidak akan ambil semula jawatan presiden ini biarpun baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, minta saya tolong dan jangan hampakan peminat setia TRW.

“Saya telah pun memberikan pertolongan dengan menyediakan bantuan dalam bentuk bon jaminan RM3 juta. Selebihnya, biarlah kongres buat keputusan dahulu,” katanya.