Carlo Ancelotti mendedahkan beliau tidak menaruh harapan terhadap jawatan di Napoli tetapi tidak teragak-agak untuk mengambil alih peranan di Stadio San Paolo.

Setelah dipecat Bayern Munich pada September 2017, Ancelotti hadir untuk menggantikan Maurizio Sarri yang kemudian menyertai Chelsea.

Begitupun, bekas pengendali Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea itu berpendapat meskipun panggilan daripada Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, sesuatu yang mengejutkannya, beliau langsung tidak gusar sama ada jawatan itu sesuai dengannya atau tidak.

"Saya tidak menjangka mendapat panggilan daripada De Laurentiis," ujar Ancelotti yang memenangi tujuh daripada sembilan perlawanan awal Serie A kepada II Mattino dalam siaran Facebook secara langsung menjelang pertembungan Napoli dengan Roma, esok.

"Saya boleh menjangkakan semuanya tetapi peluang untuk datang ke sini, saya sangka Sarri akan terus mengemudi skuad ini.

"Tetapi, saya yakin ia akan menjadi pilihan yang tepat buat saya, bermula daripada projek ini sehingga para pemain."

Sarri menikmati dua musim hebat di Napoli apabila membimbing mereka meraih kelompok tiga terbaik dalam tempoh dua musim.

Walaupun Ancelotti berdepan kesukaran besar untuk menyesuaikan diri dengan pencapaian Sarri, beliau tidak khuatir terhadap sebarang perbandingan.

"Perbandingan dengan Sarri tidak pernah mengganggu saya. Saya mengenalinya dengan baik dan dia disayangi atas apa yang dilakukannya di sini," katanya.

"Dia mendapat hasil melalui kualiti permainannya, pasukannya menguasai setiap perlawanan.

"Dalam tempoh tiga tahun di bawah kendaliannya, dia mencipta satu legasi yang menyaksikan pemain mempunyai kesedaran yang tinggi berbanding rakan-rakan mereka yang lain."