Disebut-sebut sebagai pengganti ideal bagi Gian Piero Ventura, Carlo Ancelotti sudah mempunyai idea untuk memulihkan reputasi Itali susulan kegagalan mereka layak ke Piala Dunia 2018 dengan mengurangkan jumlah pencabar Serie A daripada 20 pasukan kepada 18.

Bola sepak Itali menjadi hura-hara bulan lalu berikutan kegagalan pasukan kebangsaan negara itu layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 selepas dikecewakan Sweden dalam perlawanan play-off.

Ventura dipecat sementara Carlo Tavecchio meletak jawatan sebagai presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) di tengah-tengah kritikan hebat terhadap pasukan kebangsaan.

Kegagalan Azzurri untuk layak ke temasya Russia 2018 itu mengundang kritikan pemain dan jurulatih yang menyalahkan sistem Serie A kerana dipengaruhi jumlah kehadiran pemain luar negara.

Ancelotti menjadi calon kegemaran untuk mengisi kekosongan berkenaan tetapi bekas pengurus Bayern Munich itu mahu kekal dalam pengurusan kelab walaupun dia percaya saingan tertinggi Itali itu harus kembali kepada format 18 pasukan seperti pada 2003/04.

"FIGC menghubungi saya, saya bercakap dengan mereka, saya memberitahu mereka seperti apa yang saya katakan sekarang, saya menerima penghormatan daripada ramai pihak yang mahu saya menjadi jurulatih Nazionale," kata pengurus berusia 58 tahun itu kepada La Domenica Sportiva.

"Bekerja untuk pasukan kebangsaan adalah berbeza dengan menjadi jurulatih kelab. Ini kerana saya masih menikmati latihan dan bekerja setiap hari. Bola sepak Itali juga mempunyai beberapa masalah yang perlu diselesaikan.

"Saya menyedari terdapat konflik kepentingan di antara kelab dan persekutuan seperti di Jerman, Perancis dan England tetapi bola sepak Itali memerlukan FIGC untuk memperkenalkan peraturan baru kepada kelab untuk memperbaiki keadaan.

"Sebagai contoh, saya fikir Serie A akan mendapat banyak manfaat dengan mengurangkan saingan daripada 20 pasukan kepada 18 dan saya tahu ada kelab yang bersedia untuk mengundi untuk itu," katanya lagi.